Aizat Sharif


Arau: Melangkah ke hari pertama Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menyaksikan banyak sektor pembuatan, perdagangan dan pengedaran di Perlis kembali beroperasi.

Peralihan ke fasa kedua itu ternyata melegakan banyak pihak terutama pengusaha kedai.

Namun begitu, dalam keghairahan memulakan semula perniagaan, pengusaha kedai dilihat tidak mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Tinjauan di sebuah kedai gunting rambut di Jejawi, di sini, mendapati ramai remaja menunggu giliran untuk menggunting rambut mereka.

Pekerja kedai gunting, Noorsuhadah Ishak, 32, berkata, pihaknya sudah menjangka bahawa kedai gunting rambut itu pasti akan 'diserbu' ramai terutama golongan remaja.

"Namun, kita tetap menjaga SOP di mana mengehadkan pelanggan seramai lima orang sahaja dalam kedai pada satu masa.

"Selain itu, kita tetap menjaga SOP seperti meletakkan alat pengimbas suhu serta pengimbas kehadiran aplikasi MySejahtera di luar premis kedai," katanya ketika ditemui di kedainya itu hari ini.

Katanya, kali terakhir kedai gunting rambut itu beroperasi adalah pada 31 Mei lalu.

Pelanggan menggunting rambut di salah sebuah kedai gunting di Arau yang dibenarkan beroperasi selepas Perlis beralih ke Fasa Kedua PPN. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Pelanggan menggunting rambut di salah sebuah kedai gunting di Arau yang dibenarkan beroperasi selepas Perlis beralih ke Fasa Kedua PPN. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Syukurlah, kita dah boleh beroperasi kerana sewa kedai pun tetap nak kena bayar dan dengan kebenaran beroperasi ini dapatlah sekurang-kurangnya menjana pendapatan.

"Kebersihan kedai juga dijaga dengan disanitasi sebanyak tiga kali sehari untuk pastikan bebas daripada penularan Covid-19," katanya.

Bagi seorang pelanggan, Asuad Zaini, 16, pembukaan kedai gunting rambut di Perlis ini melegakan hatinya kerana akhirnya dia dapat untuk menggunting rambutnya yang sudah panjang.

"Saya dah dua bulan tak gunting rambut jadi bila dah buka kedai gunting rambut ini, saya rasa legalah cuma terpaksa menunggu giliran lama kerana ramai juga hendak gunting rambut.

"Apa pun saya tetap menjaga SOP yang sudah ditetapkan kerajaan dan saya pun tidak mahulah perkhidmatan menggunting rambut ini ditutup semula," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof sehingga Sabtu lalu, seramai 69,513 atau 27.27 peratus orang sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 di Perlis.

"Jumlah itu juga merangkumi jumlah 41, 234 orang atau 16.17 peratus yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin manakala 28, 279 orang atau 11.09 peratus baru sahaja menerima dos vaksin yang pertama buat mereka.

"Pendaftaran vaksin di Perlis pula merekodkan 135, 628 orang atau 53.2 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 5:12 PM