VAN yang digunakan Abdul Malik.
VAN yang digunakan Abdul Malik.
Abdul Malik menggunting rambut pelanggan di dalam vannya.
Abdul Malik menggunting rambut pelanggan di dalam vannya.
Oleh Nur Syazwana Mansor

Pendang: Berpegang kepada konsep peniaga mencari pelanggan, bekas guru sekolah agama rakyat memanfaatkan kemahiran dan pengalaman menggunting rambut selama 27 tahun dengan menawarkan khidmat gunting rambut bergerak menggunakan kenderaan.

Abdul Malik Zakaria, 46, dari Kampung Simpang Empat Gajah Mati, di sini, berkata dia memulakan perkhidmatan kedai gunting bergerak sepenuh masa sejak awal tahun ini selepas mengambil keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada perniagaannya.

Menurutnya, idea itu tercetus secara tidak sengaja selepas menyedari perniagaan kedai gunting rambut yang diusahakan di kampung secara sambilan sejak 18 tahun lalu mempunyai ramai pelanggan tetap.

Katanya, sebelum ini dia mengusahakan kedai gunting rambut secara sambilan pada waktu petang hingga malam selepas pulang dari kerja berikutan minat mendalam meskipun mempunyai kerjaya tetap.

“Bagaimanapun, saya berdepan cabaran apabila perniagaan kedai gunting rambut yang diusahakan di kampung kurang sambutan menyebabkan saya mencari inisiatif baru bagi memajukan semula bidang yang diceburi.

“Selepas puas berfikir, saya mendapat ilham menjalankan perkhidmatan ini secara bergerak, sekali gus memberi suntikan inovatif dalam bidang perkhidmatan gunting rambut.

“Jika sebelum ini saya mengharapkan pelanggan datang ke kedai menggunting rambut, namun kali ini saya pula yang pergi ke tempat mereka menawarkan khidmat gunting rambut,” katanya.

Katanya, dia bersyukur hasratnya mendapat sokongan isteri Zamriyah Hashim, 45, dan enam anaknya berusia empat hingga 20 tahun.

“Sokongan isteri dan anak memberi inspirasi dan kekuatan untuk meneruskan impian ini. Saya bersyukur idea ini membuahkan hasil memberangsangkan dan pendapatan turut meningkat,” katanya.

Menurutnya, bermodalkan RM20,000, dia memulakan langkah awal perniagaannya dengan membeli van terpakai sebelum diubah suai menjadi kedai gunting rambut.

Katanya, dia menyusun jadual harian dengan memfokuskan lokasi tumpuan orang ramai seperti di pasar dan pasar malam.

“Saya bekerja setiap hari seawal jam 7 pagi dan pulang pada jam 10 malam. Namun, saya masih memberi khidmat sekiranya ada pelanggan datang ke rumah pada lewat malam dan hanya bercuti jika ada urusan atau faktor kesihatan saja.

“Antara lokasi dikunjungi seperti di Sungai Limau, Sungai Yan, Guar Chempedak, Sungai Tiang, Simpang Empat dan juga di sekolah berasrama jika mendapat panggilan pihak pengurusan untuk menggunting rambut pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 7:04 AM