SABRI Mohamed. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
SABRI Mohamed. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Tukang gunting orang kurang upaya (OKU) fizikal tidak menang tangan selepas kedai gunting miliknya di Kampung Parang Puting, Sabak mula beroperasi pada Jumaat lalu.

Sabri Mohamed, 39, berkata, dia menarik nafas lega kerana kini boleh melakukan kembali kerja hakikinya itu selepas hampir tiga minggu tidak beroperasi susulan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Januari lalu.

Katanya, selama kedai gunting miliknya tidak beroperasi, dia mengambil inisiatif mencari pendapatan sampingan dengan bekerja sebagai buruh kasar dan upah yang diperoleh hanya cukup makan demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Bagaimanapun, selepas kerajaan mula membenarkan kedai gunting beroperasi pada Jumaat lalu, saya tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang ke kedai untuk menggunting rambut.

"Namun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diutamakan memandangkan saya perlu berhadapan dengan pelanggan yang berlainan latar belakang dan pada masa perlu lebih berhati-hati kerana tidak mahu wujud pula kluster daripada kami," katanya ketika di temui di kedai guntingnya di Kampung Parang Puting, Sabak, di sini, hari ini.

Anak keenam daripada tujuh beradik ini berkata, disebabkan fizikal yang kerdil dengan ketinggian hanya 120 sentimeter, dia perlu menggunakan kekuda sebagai pelapik apabila berhadapan dengan pelanggan yang lebih tinggi daripadanya.

"Pengalaman menjadi tukang gunting rambut sejak lebih 20 tahun lalu menyebabkan ramai pelanggan yang mempercayai kemahiran serta bakat yang saya ada," katanya.

"Kebiasaannya saya mengambil masa 10 minit untuk menggunting rambut pelanggan selain akan mengehadkan bilangan pelanggan yang masuk menggunting rambut dalam satu-satu masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 5:20 PM