ANTARA rumah yang dinaiki air. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA rumah yang dinaiki air. FOTO Ihsan Pembaca
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 600 penduduk di kawasan Masai di sini, terjejas selepas hujan lebat sejak tengah malam menyebabkan kawasan tempat tinggal mereka dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, antara kawasan terjejas adalah Kampung Sepakat, Kampung Masjid, Sungai Masai, Desa Bakti dan Jalan Masai.

Beliau berkata, kejadian turut mengakibatkan penduduk terpaksa mengalami kerugian apabila pelbagai harta benda rosak dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian kemalangan jiwa dilaporkan, sehingga kini dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.

"Tiada pusat pemindahan yang dibuka dan air banjir yang naik sehingga kira-kira satu meter juga sudah surut.

"Mangsa sedang melakukan kerja pembersihan ketika saya meninjau beberapa kawasan perkampungan terjejas pada pagi ini.

"Mangsa akan disalurkan bantuan makanan dan kami akan melihat keperluan lain," katanya ketika dihubungi.

Che Zakaria berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa kejadian banjir berkenaan berpunca dari sistem saliran di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya sudah menyalurkan aduan berkaitan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya sistem saliran dinaik taraf dengan secepat mungkin sebelum ini.

"Penduduk lebih terjejas ketika pandemik Covid-19 apabila kediaman atau premis perniagaan diancam banjir.

"Diharap Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menjalankan kerja membersihkan longkang, membesarkan longkang dan parit bagi mengelakkan musibah berkenaan berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:10 AM