BEBERAPA kediaman penduduk terletak berhampiran kawasan tebing runtuh di Jalan Kancil 11, Taman Scientex, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
BEBERAPA kediaman penduduk terletak berhampiran kawasan tebing runtuh di Jalan Kancil 11, Taman Scientex, Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Kira-kira 500 penduduk di Jalan Kancil 11, Taman Scientex, di sini, berdepan risiko berikutan masalah tebing runtuh berhampiran kediaman mereka semakin ketara.

Suri rumah, Nur Fatiyah Yahya, 45, berkata, isu itu sudah berlarutan sejak lebih tiga tahun lalu dan semua kerja-kerja pencegahan tanah runtuh didakwa dilakukan secara sambil lewa.

Menurutnya, ia menjadikan masalah tebing runtuh semakin serius, termasuk menghampiri kediaman.

"Kami yang tinggal di kawasan perumahan ini sejak lapan tahun lalu ibarat tidak dapat tidur lena berikutan isu terbabit.

"Sebahagian laluan juga sudah runtuh hingga melepasi garis putus-putus, ia menyebabkan hanya sebuah kenderaan saja boleh menggunakan laluan itu pada satu satu masa.

"Ditambah pula cuaca tidak menentu terutama hujan lebat, kami bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

"Ia semakin menghampiri rumah iaitu hanya pada jarak tiga hingga lima meter saja," katanya ditemui, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Hamidon Saniman, 46, berkata, penduduk pernah beberapa kali membuat aduan di Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), termasuk pada Januari lalu, dan dimaklumkan bahawa pengaduan itu dalam tindakan.

Menurutnya, penduduk dimaklumkan bahawa kerja-kerja pemasangan cerucuk sedang dijalankan sebuah syarikat yang dilantik kerajaan negeri dan ia dikatakan akan siap pada Mei lalu.

"Malangnya, hingga kini, masalah itu berulang. Projek membaik pulih tebing runtuh sedang berjalan sejak lebih tiga tahun lalu namun seperti tikus baiki labu.

"Mereka pernah membuat longkang tiga atau empat kali namun ia runtuh, persoalan kami mengapa perlu menggunakan kaedah sama sekiranya ia kurang berkesan.

"Sudah berulang kali mereka menutup kawasan terbabit dengan kanvas hingga ia reput, namun masalah tidak selesai," katanya.

Hamidon berharap, isu itu diambil perhatian segera kerana ia membabitkan keselamatan penduduk terutama penghuni di 12 kediaman letak berhampiran lokasi terjejas.

"Kami buntu memikirkan permasalahan ini dan berharap tindakan dapat diambil sebelum nasi menjadi bubur," katanya.

Sementara itu, jurucakap Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) berkata, projek cegah tanah runtuh terbabit difahamkan memerlukan peruntukan yang besar.

'Projek itu di bawah kerajaan negeri. Difahamkan, pada mulanya, kaedah biasa digunakan dengan peruntukan kecemasan tetapi tidak berkesan dan difahamkan juga, ia terpaksa menunggu peruntukan lebih besar," katanya dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:35 PM