Tompokan putih mencemari Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru di Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Tompokan putih mencemari Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru di Pasir Gudang. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan terhadap dalang pencemaran Sungai Masai berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyanathan berkata, hasil laporan diterima, pada jam 12 tengah hari 22 November lalu, lima penguat kuasa JAS ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, aduan diterima daripada Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan Azli Mohd Aziz dan Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2 Mohd Azizi Mohmad.

"Difahamkan, pencemaran dengan tompokan putih ini julung kali berlaku. JAS sudah mengambil sampel air sungai dan dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya, Selangor untuk dianalisa," katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, Mohd Azizi Mohmad berkata, hujan lebat di kawasan berkenaan diharap mampu membersihkan tompokan putih terbabit.

"Kami berharap, apabila hujan lebat melanda, sisa terbabit terus hilang di Sungai Masai," katanya.

Pencemaran di Sungai Masai yang berlaku sejak Jumaat lalu mengundang kebimbangan penduduk dan nelayan.

Ia dikhuatiri menjejaskan kehidupan laut serta kesihatan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:11 PM