Sungai Masai di Kampung Pasir Gudang Baru dalam keadaan tercemar apabila bertukar warna kehitaman dan berbau. FOTO Mary Victoria Dass
Sungai Masai di Kampung Pasir Gudang Baru dalam keadaan tercemar apabila bertukar warna kehitaman dan berbau. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Isu pencemaran Sungai Masai yang dianggap sudah berakhir masih berulang apabila air sungai itu bertukar 'hitam legam' sejak petang kelmarin.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, situasi itu menimbulkan tekanan kepada nelayan mahupun penduduk Kampung Pasir Gudang Baru, di sini.

Menurutnya, keadaan air sungai lebih buruk berbanding sebelum ini dan pencemaran berlaku merangkumi kawasan yang lebih jauh.

Katanya, pihaknya yang melakukan tinjauan di sekitar Sungai Masai berhampiran sebuah loji di Taman Bukit Dahlia, di sini, mendapati terdapat pengaliran air tercemar yang berwarna hitam dan busuk.

"Pencemaran berlaku kali kelapan pada tahun ini termasuk kali terakhir pada bulan lalu, namun sehingga kini agensi berkaitan masih menjalankan siasatan dan tidak mampu mengenal pasti punca sebenar pencemaran ini.

"Penduduk mahupun nelayan ingin mengetahui sama ada ia berpunca daripada loji terbabit atau bahan buangan dari kawasan perindustrian.

"Bayangkan masalah ini sudah berlaku lebih 10 tahun lalu dan ratusan kali sampel diambil, namun sehingga kini punca tidak dapat dikenal pasti," katanya ketika ditemui, di sini.

Selain bau meloyakan, air sungai yang berubah menjadi kehitaman dan menghasilkan bau busuk dikhuatiri beracun kerana mengakibatkan hidupannya turut pupus.

Pada 10 tahun lalu, nelayan boleh memancing ikan atau mencari ketam di sungai berkenaan, tetapi kini terpaksa pergi ke tengah laut untuk mendapat hasil.

Nelayan tradisional yang teruk terjejas ialah dari Kampung Pasir Gudang Baru dan Kuala Masai, di sini, apabila air sungai itu bertukar warna serta berbau busuk akibat tercemar daripada sisa kumbahan itu.

Pada 14 September lalu, Harian Metro melaporkan isu pencemaran di Sungai Masai menyebabkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) meninjau keadaan sungai berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kes berkenaan masih disiasat.

"Keadaan sungai hari ini didapati masih sama," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:13 PM