Pasukan pengurusan jenazah Islam Covid-19 sedang menyembur cecair pembasmi kuman keatas kubur jenazah Covid-19. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Pasukan pengurusan jenazah Islam Covid-19 sedang menyembur cecair pembasmi kuman keatas kubur jenazah Covid-19. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tidak terbabit dalam pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, perkhidmatan pengurusan jenazah bukanlah perkhidmatan disediakan HRPZ II.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat banyak permintaan untuk menyempurnakan jenazah mangsa Covir-19 di hospital berkenaan.

"Jadi, kami menyediakan kemudahan berkenaan di Jabatan Forensik tanpa mengenakan bayaran untuk kos fasiliti dan utiliti.

"Sekiranya pihak waris ingin menyempurnakan jenazah di fasiliti kami, senarai pengurus jenazah mendapat kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) disediakan.

"Pihak MAIK melalui surat bertarikh 8 Jun lalu mengeluarkan cadangan kadar kos untuk pengurusan jenazah (Covid-19).

"Pihak waris bebas untuk membawa pengurus jenazah sendiri tanpa tertakluk kepada senarai disediakan," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kos pengurusan jenazah tertakluk sepenuhnya kepada persetujuan bersama antara keluarga dan pengurus jenazah dipilih.

Menurutnya, urusan bayaran dan pengeluaran resit adalah di antara pihak pengurus jenazah dengan waris tanpa melalui pihak hospital.

"Pihak hospital khususnya Jabatan Forensik tidak pernah menetapkan sebarang kos pengurusan jenazah.

"Kami mengalu-alukan keprihatinan dan kesudian mana-mana pihak dalam membantu meringankan beban kos pengurusan jenazah perlu ditanggung waris," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 7:04 PM