Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan berunding dengan pihak berkuasa agama negeri berhubung isu kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19 yang dikatakan membebankan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu akan diselesaikan segera kerana ia membebankan keluarga pesakit Covid-19.

Beliau turut menyifatkan caj dikenakan sehingga mencecah ribuan ringgit itu sebagai tidak patut memandangkan ramai terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Saya tidak mendapat maklumat secara terperinci berkaitan isu kos pengurusan jenazah pesakit Covid-19. Seperti kita sedia maklum, pihak hospital tidak menguruskan urusan tayammum bagi jenazah pesakit wabak berkenaan.

"Pihak luar yang menguruskannya itu dikatakan mengambil kesempatan dengan mengenakan kos tinggi. Jika sebelum ini kos untuk menguruskan jenazah biasa sekitar RM300 hingga RM500, namun jika jenazah berisiko tinggi seperti HIV dan Covid-19, memang kos sedikit tinggi dan dianggap berpatutan.

"Namun, jika dikatakan kos dikenakan sehingga mencecah ribuan ringgit hanya untuk proses tayammum sahaja, ia memang tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gajah, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, bayaran pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Kelantan antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan.

Bayaran itu pula bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum sebelum dikafankan sahaja.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, untuk di Kelantan, beliau difahamkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sudah memanggil pihak berkenaan untuk mendapatkan maklumat selain menetapkan penyelarasan harga berpatutan.

"Di peringkat persekutuan, pengurusan jenazah di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan kita tidak mengenakan caj yang membebankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 2:48 PM