GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19 oleh jabatan itu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, bayaran hanya dikenakan oleh pihak pengurusan tanah perkuburan, termasuk kos membuat keranda jika perlu.

"Bayaran itu akan terus dibayar oleh keluarga atau waris kepada pihak pengurusan tanah perkuburan berkenaan.

"JAIS juga hanya akan menguruskan jenazah pesakit Covid-19 yang dilepaskan oleh pihak hospital sahaja.

"Perkara seperti memaklumkan tentang kematian pesakit Covid-19 dan kehadiran waris ke hospital adalah di bawah urusan pihak hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu katanya, JAIS sudah menetapkan tanah perkuburan yang sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak.

"Bagi situasi berkeperluan khas, JAIS juga boleh membuat pertimbangan tertentu untuk melakukan perubahan yang bersesuaian dengan kepentingan umum, khususnya umat Islam," katanya.

Dalam pada itu katanya, JAIS mengambil maklum dan memberi perhatian serius terhadap beberapa tuduhan dan isu yang dibangkitkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

"Beberapa siri serangan terhadap JAIS di media sosial dalam hal pengurusan jenazah Covid-19 adalah suatu telahan yang menyimpang, tidak tepat, bersifat prejudis dan boleh menimbulkan perspektif buruk kepada dasar dan ketetapan baru JAIS berhubung pengurusan jenazah Covid-19 yang dikuatkuasakan di seluruh Negeri Selangor pada 28 Julai lalu," katanya.

Beliau berkata, pengendalian pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor sudah disemak semula bagi membantu mengatasi kekangan dan meringankan tekanan pasukan barisan hadapan hospital terutamanya di bahagian forensik bagi mengelakkan berlaku semula 'backlog' jenazah pesakit Covid-19.

Justeru itu katanya, JAIS mengesyorkan mana-mana pihak membuat laporan kepada pihak berwajib jika mempunyai bukti berhubung tohmahan yang dibuat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 10:49 AM