Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pembayaran pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Kelantan dianggarkan di antara RM1,300 sehingga RM1,900, bukan sahaja tidak munasabah, malah membebankan waris mangsa.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al Kautsar, Muhammad Imdaadullah Muhammad Asri berkata, pembayaran tinggi itu tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, pandangan itu dibuat sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang turut membantu keluarga pesakit Covid-19 menjelaskan bayaran RM1,300 kepada seorang 'ustazah' yang menguruskan jenazah pesakit Covid-19 di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada 14 Jun lalu.

Katanya, pada awalnya orang yang menguruskan jenazah meminta bayaran sebanyak RM1,900, tetapi selepas berbincang mereka menurunkan bayaran kepada RM1,300.

"Sebenarnya untuk menguruskan jenazah ini hanya diberikan secara percuma atau bayaran tidak melebihi RM200 sahaja untuk kos tayamum seperti pekeliling dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

"Namun, disebabkan ada pihak mahu mengambil kesempatan atau kartel pengurusan jenazah, jadi bayaran untuk urus jenayah pesakit Covid-19 dengan hanya tayamum meningkat di antara RM1,300 hingga RM1,900," katanya ketika ditemui di Demit, Kubang Kerian di sini, hari ini.

Menurutnya, ramai keluarga tidak mampu untuk menanggung kos bayaran mahal, tetapi mereka terpaksa membayar kos itu bagi mempercepatkan proses pengurusan jenazah.

Katanya, ahli keluarga bukan sahaja perlu membayar kos tayamum, malah perlu membayar kos lain termasuk van jenazah, gali kubur dan keranda.

 Sebahagian petugas barisan hadapan melakukan kerja-kerja pengebumian jenazah COVID-19. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Sebahagian petugas barisan hadapan melakukan kerja-kerja pengebumian jenazah COVID-19. FOTO AMIRUDIN SAHIB

"Kami pernah 'bertikam lidah' dengan pihak pengurusan jenazah apabila mereka berkeras mahu menguruskan jenazah kerana tidak mahu bertembung dengan NGO yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

"Tidak logik apabila jenazah mangsa Covid-19 masih ada di dalam wad, tetapi sudah ada ustaz atau pengurus jenazah yang menunggu di Unit Forensik.

"Apabila kami sampai untuk menawarkan pengurusan secara percuma, kami terpaksa 'bertikam lidah' dengan mereka. Ini jelas menunjukkan mereka ini mengambil kesempatan dan dipercayai turut adanya 'orang dalam' yang sama-sama mahu mengaut keuntungan di atas kesedihan orang lain," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sudah memberi bantuan menguruskan jenazah secara percuma kepada kira-kira 10 keluarga pesakit Covid-19 dan puluhan mangsa lain.

Menurutnya, mereka ikhlas dan tidak mahu ada pihak lain yang mengambil kesempatan mengenakan caj tinggi.

katanya, orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan pengurusan jenazah percuma, mereka boleh cari beberapa NGO lain termasuk Tengku Harith Team Ventures, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan lain-lain lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:55 PM