FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjelaskan tidak mengenakan apa-apa bayaran ke atas waris untuk menguruskan jenazah Covid-19.

Menerusi kenyataan bersama Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman dan Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin memaklumkan, hanya sumbangan saguhati yang dibayar terus pewaris kepada petugas yang menyempurnakan tayamum.

Katanya, pihaknya memandang serius terhadap isu bayaran pengurusan jenazah Covid-19 khususnya bayaran tayamum tinggi yang sedang heboh diperkatakan pada masa ini.

"Sukacita ingin menjelaskan bahawa pihak Maik dan JKNK sentiasa bekerjasama rapat dalam menangani isu-isu berkaitan Covid-19.

"Berkaitan pengurusan jenazah di hospital-hospital, pihak Maik melalui pegawai masjid khususnya Masjid Bandar dan Jajahan sentiasa bersedia untuk menguruskan jenazah Covid-19 di hospital khususnya urusan tayamum serta solat jenazah sekiranya dihubungi pihak berkaitan sama ada waris atau hospital," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, pihak Maik mengeluarkan surat makluman kepada semua pengarah hospital di Kelantan berkaitan harga yang diselaraskan iaitu saguhati untuk petugas tayamum sekiranya khidmat pegawai masjid di bawah Maik di seluruh negeri ini digunakan.

Katanya, tidak ada senarai petugas yang dikeluarkan Maik kecuali makluman tentang kesediaan pihaknya membantu urusan itu melalui pegawai masjid khususnya Pegawai Masjid Bandar dan Jajahan.

"Pihak Maik dan JKNK juga mengambil maklum bahawa terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat pengurusan jenazah secara percuma di negeri ini termasuk di hospital.

"Kami memandang serius terhadap kenyataan daripada pihak-pihak tertentu yang cuba mengaitkan nama Maik dan JKNK secara tidak bertanggungjawab dalam isubayaran pengurusan jenazah melampau yang dikenakan terhadap pewaris jenazah Covid-19.

"Kita menyeru semua pihak yang terbabit terutamanya waris untuk menghubungi Pegawai Masjid Bandar dan Jajahan di seluruh Kelantan untuk mengurus jenazah Covid-19," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, bayaran pengurusan jenazah Covid-19 yang mencecah di antara RM1,300 sehingga RM1,500 bagi tayamum yang dikenakan kepada waris adalah tidak munasabah dan membebankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 5:34 PM