GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Keberkesanan vaksin Sinovac dari China adalah sama dengan vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat (AS) dalam melawan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dibuktikan dengan data perubatan yang menunjukkan keberkesanan vaksin Sinovac dalam penggunaan secara praktikal.

"Data membuktikan, tidak ada banyak perbezaan antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaannya.

"Kedua-duanya sangat berkesan untuk mencegah penyakit teruk dan dimasukkan ke hospital, namun kurang berkesan terhadap gejala ringan atau tidak bergejala," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkongsi laporan Jurnal Perubatan New England yang diterbitkan pada 7 Julai mengenai penggunaan Sinovac di Chile.

Menurutnya, seramai 4.2 juta individu diberi vaksin lengkap berbanding 5.5 juta yang tidak diberi vaksin antara Februari hingga Mei lalu.

"Sinovac didapati mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus.

"Ia juga mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kematian sebanyak 86.3 peratus," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Israel juga menunjukkan bahawa vaksin Pfizer mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 64 peratus.

Katanya, Pfizer menunjukkan 93 peratus berkesan terhadap penyakit teruk yang menyebabkan kemasukan ke hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 4:15 PM