FOTO hiasan
FOTO hiasan
AFP

Edinburgh: Data daripada dua kajian berasingan diterbitkan di United Kingdom (UK), masing-masing di England dan Scotland, menunjukkan dos pertama vaksin Covid-19 berkesan mengekang penularan virus dan mengurangkan jumlah individu dimasukkan ke hospital.

Analisis Kesihatan Awam England menunjukkan vaksin dikeluarkan Pfizer-BioNTech mengurangkan risiko jangkitan sehingga 70 peratus selepas dos pertama.

Risiko berkurangan kepada 85 peratus selepas dos kedua.

Agensi itu mengkaji data semasa dunia dan menunjukkan individu yang menerima vaksin dan kemudian dijangkiti Covid-19, mempunyai risiko amat rendah untuk meninggal dunia atau dimasukkan ke hospital.

Analisis menunjukkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat virus itu menurun sehingga lebih 75 peratus dalam kalangan mereka yang menerima dos pertama Pfizer-BioNTech.

"Laporan penting ini menunjukkan vaksin itu berkesan - adalah amat baik untuk melihat bukti keberkesanan vaksin Pfizer dalam menawarkan perlindungan kepada jangkitan Covid-19," kata Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock.

UK menjadi antara negara paling terjejas akibat Covid-19, dengan 120,757 kematian.

Ia menjadi negara pertama memulakan pemvaksinan berskala besar pada Disember dan lebih 17 juta penduduknya kini menerima dos pertama vaksin atau satu pertiga daripada populasinya.

Pada masa sama, kajian di Scotland menunjukkan hanya dengan pengambilan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech dan Oxford- AstraZeneca, ia menyebabkan penurunan jumlah individu dimasukkan ke hospital.

Kajian itu diketuai Universiti Edinburgh, mendapati menjelang minggu keempat selepas menerima dos pertama Pfizer, ia mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19 sehingga 85 peratus.

Vaksin Oxford-AstraZeneca mengurangkan risiko sama sehingga 94 peratus.

Vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada 650,000 orang di Scotland, manakala 490,000 orang lagi menerima vaksin Oxford-AstraZeneca.

Prof Aziz Sheikh, yang mengetuai kajian itu dalam kenyataan berkata, ia memberikan bukti kepada keberkesanan vaksin dalam mencegah kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19.

"Pemvaksinan dos pertama pada peringkat global perlu dipercepat untuk mengekang virus ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:31 AM