KERETA dipandu penyeludup hilang kawalan dan melanggar pokok di Kampung Bunohan. FOTO  ihsan KPDN
KERETA dipandu penyeludup hilang kawalan dan melanggar pokok di Kampung Bunohan. FOTO ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Tumpat: Tindakan penyeludup yang memecut keretanya dengan muatan petrol mengundang padah apabila kenderaan itu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok.

Kejadian itu berlaku pada 5.50 petang semalam apabila pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahu membuat pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang sedang parkir di Kampung Pak Keral di sini.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, pihaknya mengesan kenderaan itu membawa muatan petrol yang diisi dalam tong plastik untuk dibawa ke Thailand.

"Semasa pemeriksaan mahu dilakukan pasukan kami, secara tiba-tiba pemandu kereta itu memecut laju ke arah Kampung Bunohan.

"Pasukan kami terus mengejarnya sejauh tujuh kilometer (km) dan sebaik melalui kawasan sawah padi, kenderaan itu hilang kawalan seterusnya melanggar sebatang pokok.

"Bagaimanapun, suspek melarikan diri ke arah sawah padi dan gagal dikesan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Azman berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui sejumlah tong plastik mengandungi 550 liter petrol di tempat duduk penumpang dan bahagian belakang yaang dianggarkan bernilai RM1,127.50.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:46 PM