GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kajian 'The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination' (RECoVaM) menunjukkan berlaku pengurangan keberkesanan membabitkan ketiga-tiga vaksin digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) selepas enam bulan seseorang individu lengkap dua dos suntikan.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata, melalui Pick yang dilancarkan Februari lalu, kadar jangkitan yang memerlukan kemasukan ke hospital sudah berkurangan.

"Ini adalah data yang kita peroleh daripada kajian kita, RECoVaM, dan kita perhatikan apabila seseorang individu sudah lengkap dua dos vaksin, mereka dapat mengurangkan jangkitan sekadar 87 peratus dan juga jangkitan simptomatik 85 peratus.

"Kalau kita bandingkan antara mereka yang masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes kematian, ketiga-tiga vaksin yang digunakan pada peringkat awal iaitu AstraZeneca, Pfizer dan Sinovac menunjukkan keberkesanan yang tinggi.

"Jadi semua vaksin yang digunakan dalam Pick adalah berkesan berdasarkan data yang diperoleh pada April sehingga pertengahan September lalu," katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Menurutnya, data daripada kajian vaksin Pfizer, satu-satunya vaksin diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di Malaysia menunjukkan, semua peringkat umur kecuali 12 hingga 15 tahun, berlaku pengurangan keberkesanan vaksin sehingga 47 peratus dalam tempoh enam bulan berbanding 88 peratus untuk bulan pertama.

"Walaupun ada pengurangan keberkesanan vaksin tetapi daripada gejala membabitkan mereka dan kemasukan ke hospital adalah masih stabil.

"Tetapi kita perlu memahami, di Amerika Syarikat (AS), apabila seseorang dimasukkan ke hospital, kebiasaannya mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan. Di Malaysia pula, kemasukan dalam hospital bergantung kepada risiko lain seperti umur dan komorbiditi," katanya.

Menurutnya, kajian sama turut dijalankan membabitkan vaksin Pfizer dan Sinovac selepas dua bulan disuntik.

"Mereka masih mempunyai kadar keberkesanan 88 peratus manakala Sinovac 76 peratus. Ini berdasarkan 300,000 kadar kemasukan dalam hospital.

"Bagaimanapun, kadar keberkesanan selepas tiga hingga lima bulan disuntik menurun kepada 68 peratus bagi Pfizer manakala hanya 27 peratus bagi Sinovac," katanya.

Selain itu, Dr Kalaiarasu berkata, kajian dilakukan pihaknya mendapati, tiga bulan sebelum petugas barisan hadapan

menerima vaksin, sebahagian mereka yang dijangkiti dan sembuh menunjukkan keberkesanan daripada segi natural imunisasi.

"Selepas diberi vaksin, kadar antibodi melawan Covid-19 mencapai peratus paling tinggi iaitu 150 mikroliter (ml) yang disyaratkan paling tinggi untuk kit ujian.

"Bagaimanapun, selepas tiga bulan, kita lihat purata menunjukkan pengurangan kepada 75 ml dalam tempoh enam bulan.

"Kumpulan ini terdiri daripada 550 petugas barisan hadapan di hospital, berlaku pengurangan hampir 25 hingga 30ml antibodi selepas enam bulan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 6:33 PM