FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Edinburgh: Data daripada dua kajian berasingan diterbitkan di United Kingdom (UK), masing-masing di England dan Scotland, menunjukkan dos pertama vaksin Covid-19 berkesan dalam mengekang penularan virus itu dan individu dimasukkan ke hospital.

Analisis Kesihatan Awam England menunjukkan bahawa vaksin dikeluarkan oleh Pfizer-BioNTech mengurangkan risiko jangkitan sehingga 70 peratus selepas dos pertama.

Risiko itu berkurangan kepada 85 peratus selepas dos kedua.

Agensi itu mengkaji data semasa dunia dan menunjukkan bahawa individu yang menerima vaksin dan kemudian dijangkiti Covid-19, mempunyai risiko amat rendah untuk meninggal dunia atau dimasukkan ke hospital.

Analisis menunjukkan bahawa kemasukan ke hospital dan kematian akibat virus itu menurun sehingga lebih 75 peratus dalam kalangan mereka yang menerima dos pertama Pfizer-BioNTech.

"Laporan penting ini menunjukkan bahawa vaksin itu berkesan - adalah amat baik untuk melihat bukti keberkesanan vaksin Pfizer dalam menawarkan perlindungan kepada jangkitan Covid-19,: kata Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock.

UK menjadi antara negara paling terjejas akibat Covid-19, dengan 120,757 kematian.

Ia menjadi negara pertama yang memulakan pemvaksinan berskala besar pada Disember dan lebih 17 juta orang penduduknya kini sudah menerima dos pertama vaksin, atau satu pertiga daripada populasinya.

Pada masa sama, kajian di Scotland menunjukkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Oxford-AstraZeneca menyebabkan penurunan jumlah individu dimasukkan ke hospital selepas dos pertama.

Kajian itu yang diketuai oleh Universiti Edinburgh, mendapati menjelang minggu keempat selepas menerima dos pertama Pfizer, ia mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19 sehingga 85 peratus.

Vaksin Oxford-AstraZeneca pula mengurangkan risiko sama sehingga 94 peratus.

Vaksin Pfizer sudah diberikan kepada 650,000 orang di Scotland, manakala 490,000 orang lagi menerima vaksin Oxford-AstraZeneca.

Prof Aziz Sheikh, yang mengetuai kajian itu dalam kenyataan berkata, ia memberikan bukti kepada keberkesanan vaksin dalam mencegah kemasukan pesakit ke hospital akibat Covid-19.

"Pemvaksinan dos pertama pada peringkat global perlu dipercepat untuk mengekang virus ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:45 AM