PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Optimax Eye Specialist Hospital, Jalan Masjid Negeri di Georgetown. FOTO Danial Saad.
PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Optimax Eye Specialist Hospital, Jalan Masjid Negeri di Georgetown. FOTO Danial Saad.
BERNAMA

Georgetown: Pulau Pinang akan mula memberikan vaksin Covid-19 jenis Sinovac sebagai suntikan dos penggalak pada Disember ini.

Ia juga sebagai langkah meningkatkan jumlah penerima dos penggalak di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Norlela Ariffin berkata, kerajaan negeri memilih pendekatan itu kerana terdapat penerima yang enggan menerima vaksin jenis Pfizer sebagai dos penggalak kerana telah menerima Sinovac untuk dos pertama dan kedua.

"Sinovac dan AstraZeneca baru-baru ini telah diluluskan sebagai vaksin dos penggalak. Pulau Pinang mempunyai lebih kurang 200,000 dos vaksin Sinovac dan kita akan mula memberi vaksin ini kepada mereka yang menolak vaksin Pfizer pada bulan Disember akan datang," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Bukit Tengah) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 untuk warga Pulau Pinang.

Norlela berkata, sehingga 29 November, jumlah penerima dos penggalak di Pulau Pinang berjumlah 84,541 orang, iaitu antara lima negeri terendah yang penduduknya telah menerima suntikan tersebut walaupun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri sedang bekerjasama dengan pihak ProtectHealth Corporation Sdn Bhd bagi meningkatkan penglibatan fasiliti swasta dari segi bilangan dan juga penambahan dos di fasiliti yang sedang melaksanakan pemberian dos penggalak.

Katanya, setakat 24 November, terdapat 86 klinik swasta, lapan hospital swasta dan tiga pusat pemberian vaksin yang menawarkan suntikan dos penggalak.

Bagi meningkat jumlah pemberian suntikan dos penggalak Covid-19, Norlela turut mencadangkan Ahli DUN untuk mengemukakan dewan yang boleh digunakan di kawasan masing-masing serta membantu dari segi mengurangkan kos penggunaan dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 1:02 PM