Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan melakukan siasatan terhadap kilang memproses ayam di Sungai Lalang, Bedong selepas terdapat pekerja di kilang berkenaan positif Covid-19.

Pengarah JTK Kedah, Arzanil Bahadur berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990) yang menjurus pematuhan majikan terhadap aspek penginapan pekerja sama ada berlaku pelanggaran atau sebaliknya.

"Pihak kami akan melakukan siasatan di asrama penginapan kilang berkenaan selepas mendapat kebenaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia berikutan kawasan itu kini merupakan kawasan wabak Covid-19.

"Kami akan siasat dari segi undang-undang perburuhan sedia ada iaitu mengikut Akta 265 (Akta Kerja 1955). Akta ini adalah untuk melindungi pekerja daripada sebarang eksploitasi oleh majikan dan meletakkan faedah-faedah minima yang perlu diberikan kepada pekerja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kilang pemprosesan ayam yang dikesan membenarkan sekumpulan pekerjanya yang positif Covid-19 menaiki lori beramai-ramai sebelum ditahan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, 48 pekerja yang baru dipakaikan gelang merah jambu didapati menaiki lori untuk pulang ke asrama penginapan mereka.

Mengulas lanjut, Arzanil berkata keadaan itu tidak sepatutnya berlaku dalam etika kemanusian kerana lori bukanlah untuk membawa penumpang.

Bagaimanapun, JTK tidak mempunyai peruntukkan undang-undang sedemikian dan ia mungkin ada dalam perundangan agensi lain.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 12:48 PM