ROSLIZAWATI (dua kanan) bersama Hasul  Haniff, Dr Aiman Alias dan Dr Jason Chin Yu Aun pada sidang media SEGARUN 2024 di IYC Cheras, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
ROSLIZAWATI (dua kanan) bersama Hasul Haniff, Dr Aiman Alias dan Dr Jason Chin Yu Aun pada sidang media SEGARUN 2024 di IYC Cheras, hari ini. FOTO Saifullizan Tamadi
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Konsep Tobacco Harm Reduction atau pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau diperkenalkan oleh industri rokok dalam negara tidak wajar dilayan, kata Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH).

Presidennya, Roslizawati Md Ali berkata, kenyataan kononnya perokok beralih kepada produk alternatif seperti rokok elektronik dapat membantu mengurangkan pengambilan tembakau dan mendorong mereka berhenti merokok adalah dakyah atau propaganda memudaratkan.

"Vape adalah menggantikan mudarat kepada mudarat yang lain. Kita tak nak lagi melihat pemain industri tembakau, syarikat tembakau, orang dalam industri berkaitan dan vape berleluasa lagi di Parlimen.

"Ini adalah bertentangan dan pelanggaran pematuhan terhadap Artikel 5.3 WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang menetapkan Malaysia sebagai negara anggota perlu melaksanakan kawalan tembakau serta melindungi dasar berkenaan dari kepentingan komersial dan kepentingan industri tembakau berlandaskan undang-undang negara," katanya pada sidang media mengenai Karnival Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD)-SEGARUN 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM) ⁠Dr Aiman Alias, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Hasnul Haniff Harun dan Ketua Operasi Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) ⁠Dr Jason Chin Yu Aun.

Sementara itu, program berkenaan dijangka diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad 2 Jun ini, bermula 6.30 pagi.

Orang ramai yang ingin menyertai karnival itu boleh membuat pendaftaran di https://bit.ly/SEGARUN_2024 tanpa sebarang bayaran.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti e-games, Lari Bob!, Penalty Kick, Fitness Challenge, Pertandingan Mewarna, Bouncy Castle dan Raffle Draw.

Selain itu, aktiviti advokasi kemasyarakatan juga diadakan seperti vaksin HPV Vaccination, Saringan Kanser, Health and Wellness on Wheels (WoW), Pergigian Bergerak, Pemeriksaan Kesihatan dan Pertolongan Cemas (CPR), Pameran Klinik Berhenti Merokok serta Farmasi Kenali Ubat Anda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:03 PM