Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sebuah syarikat kilang guni baja di Telok Mas, dekat sini, dikesan merisikokan keselamatan pekerjanya apabila tidak berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sejak beroperasi pada 2001.

Kesalahan itu terbongkar hasil pemeriksaan mengejut dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka bersama JKKP Melaka, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini.

Kilang itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34 (1) Akta Kilang dan Jentera 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

PEGAWAI JTK Melaka memeriksa asrama pekerja. FOTOMeor Riduwan Meor Ahmad.
PEGAWAI JTK Melaka memeriksa asrama pekerja. FOTOMeor Riduwan Meor Ahmad.

Pengarah JTK negeri, Johana Bakar berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati kilang yang mempunyai 52 pekerja iaitu 31 tempatan dan 21 warga asing melakukan beberapa kesalahan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Pemeriksaan mendapati majikan menyediakan lapan unit penginapan pelbagai jenis kepada 21 pekerja asing tanpa sebarang perakuan penginapan daripada JTK selain belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan itu serta kelulusan PBT.

"Ia termasuk penginapan di dalam bangunan kilang yang sepatutnya digunakan untuk ruang kerja, tiada kemudahan asas seperti tandas, ruang rehat, bilik mandi selain persekitaran kotor.

"Kesalahan lain yang dilakukan termasuk di bawah peraturan Akta 446 serta beberapa pelanggaran lain mengikut Akta Kerja 1955," katanya pada sidang media selepas pemeriksaan kilang berkenaan di sini, hari ini.

Johana berkata, pemeriksaan mengejut itu juga bertujuan memantau pematuhan SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bagi memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.

Katanya, majikan terbabit memberi alasan kilangnya kecil dan kurang pekerja selain kos tinggi untuk mengaji pekerja asing.

"Mereka sepatutnya mengikut akta dan peraturan ditetapkan apatah lagi ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), perniagaan mereka tidak terjejas dan beroperasi," katanya memaklumkan sebelum ini pekerja asing terbabit tinggal di rumah kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 4:20 PM