Kedudukan katil pekerja warga asing yang sesak di dalam premis penginapan yang disediakan majikan mereka di kawasan perindustrian di Bukit Selambau. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Kedudukan katil pekerja warga asing yang sesak di dalam premis penginapan yang disediakan majikan mereka di kawasan perindustrian di Bukit Selambau. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Dilayan seumpama `hamba abdi' apabila pekerja yang diambil bekerja dipaksa tinggal beramai-ramai di dalam bilik kecil.

Malah kondisi bilik tanpa tilam selain keadaannya yang panas menambahkan lagi penyiksaan dialami penghuninya.

Tindakan tidak berhati perut golongan majikan itu didedahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah hasil siasatan terhadap empat syarikat di Bukit Selambau dan Kulim di sini.

Pengarah JTK Kedah Arzanil Bahadon berkata, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka terhadap majikan syarikat itu kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

"Dalam serbuan dua hari bermula semalam, JTK Kedah memeriksa enam premis iaitu tiga di Kulim dan tiga di Bukit Selambau dengan empat daripadanya didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Enam premis penginapan pekerja sektor pembuatan itu menempatkan 303 pekerja tempatan dan lebih kurang 871 pekerja warga asing," katanya pada sidang media selepas Op Bersepadu Mega Gegar di kawasan perindustrian Bukit Selambau di sini, tadi.

Beliau berkata, penguatkuasaan bersepadu berkenaan antara mekanisme dilakukan JTK Kedah bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin.

"Berdasarkan pemerhatian dalam operasi itu, keadaan di kilang itu memang tidak kondusif, kemudahan asas tidak mencukupi seperti katil tanpa tilam, kebersihan persekitaran juga teruk selain tiada penyelenggaraan dibuat di premis.

"Keadaan bilik juga agak panas dan kedudukan katil yang padat menjadikan ruangan sempit untuk bergerak. Jika berlaku kecemasan, kita bimbang mereka (pekerja) sukar keluar (menyelamatkan diri) dari premis dengan segera," katanya.

Menurut Arzanil operasi berkenaan membabitkan 22 pegawai dan petugas JTK Kedah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Imigresen (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kebanyakan pekerja yang tinggal di premis terbabit terdiri dalam kalangan warga Myanmar, Nepal dan Bangladesh. Satu daripada premis berkenaan didapati pernah diserbu kira-kira dua tahun lepas, namun masih melakukan kesalahan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 4:19 PM