LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Pempengaruh dan pengguna media sosial diingatkan tidak terlalu ghairah melakukan memuat naik kandungan atau 'konten' yang semata-mata bertujuan menarik perhatian umum sehingga mengetepikan nilai sensitiviti yang akhirnya hanya menimbulkan keresahan dan mengganggu ketenteraman awam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, orang ramai terutama pempengaruh atau pencipta kandungan sepatutnya memuat naik kandungan yang positif yang mampu dijadikan contoh.

Beliau berkata, isu seumpama itu perlu ditangani secara menyeluruh supaya ia tidak berulang dan semua pihak perlu memainkan peranan dalam mendidik dan membimbing masyarakat supaya lebih peka dan sensitif.

"Jadi nasihat kepada mereka yang ingin membuat konten dan sebagainya, sebaiknya rujuklah pihak yang berautoriti seperti Jabatan Mufti atau pihak-pihak yang mempunyai pengetahuan sebelum melakukan sesuatu supaya ia tidak menimbulkan keresahan, ketidaktenteraman awam.

"Apa-apa yang kita lakukan mesti berdasarkan kepada nas atau ilmu yang sahih yang benar supaya apa yang kita lakukan itu tidak mengganggu atau menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menyentuh sensitiviti orang ramai.

"Pada hari ini, ramai yang ingin popular, ramai yang ingin tarik perhatian namun begitu biarlah perhatian itu adalah perhatian menerusi perkara-perkara yang positif dan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Peradaban Islam dan Ketamadunan Malaysia (SPIKEM) Siri Madani Sesi 8/2024 di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tindakan dua wanita melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan sebagaimana rakaman tular dalam media sosial, mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai melampaui batas dan tidak menghormati agama serta waris pemilik kubur berkenaan.

Berdasarkan video berdurasi 37 saat itu, seorang wanita yang membuat rakaman terbabit memberitahu rakannya mengenai dakwaan jika melangkah kubur, pemiliknya (individu meninggal dunia itu) akan datang mencari individu berkenaan pada waktu malam.

Bagaimanapun, hari ini, wanita itu tampil memohon maaf berhubung tindakan mereka.

Dalam perkongsian video di akaun TikToknya, semalam, wanita terbabit mendakwa ia bukan kubur sebenar dan dibuat pasukannya untuk penggambaran filem pendek yang akan ditayangkan di saluran YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:49 PM