Fendy bersama anaknya, Azalea.
Fendy bersama anaknya, Azalea.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Bekas pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun melahirkan perasaan terkejut apabila video nyanyian anaknya, Nur Azalea Zafirah, 9, tular dikalangan pengguna media sosial. 

Fendy, 33, berkata, Nur Azalea Zafirah mengikutnya untuk busking di Bukit Bintang dan selepas itu menyatakan hasrat untuk menghiburkan pengunjung yang berada di sekitar. 

"Perkara ini berlaku secara tak langsung. Sebenarnya saya pun tidaklah 'push' dia untuk jadi penyanyi. Cuma dia dah terbiasa ikut saya busking dari kecil.

"Dari dalam perut emaknya (bekas isteri) sampailah membawa sampai sekarang dia ikut. Dia oku penglihatan dan autistik. Dia menyanyi lagu yang disukainya.

"Kadang-kadang caranya ialah dia menghafal bukan disuruh. Dia dengar dan hafal secara sendiri. Mungkin dia dengar masa naik kereta, tiba-tiba terpasang lagu itu," katanya kepada Harian Metro. 

Menurutnya, kadangkala di rumah dia memainkan lagu-lagu dari playlist dan spotify lagu-lagu yang disukai anaknya dan dia memberikan perhatian penuh. 

"Dari situ dia akan 'catch up' (tangkap) untuk ikut perlahan-lahan. Selepas itu tiba-tiba saja dia kata nak menyanyi lagu itu ini. 

"Saya pun terkejut kerana hairan bila masa dia hafal lagu itu. Setakat ini saya belum lagi ajar dia menyanyi secara formal. 

"Apapun terpulang kepada dia sekiranya nak menyanyi atau sebaliknya, tapi nampak gayanya ke situ juga. Kalau itu yang mudah baginya dan yang dia boleh fokus, teruskan sahajalah. 

"Saya pun akan sokong dan mungkin akan masukkan dia ke kelas vokal profesional untuk permulaan masa depan dia jadi lebih baik," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 5:42 PM