PIHAK Jas membuat pemantauan kesan kimia yang mengalir dalam longkang utama di Taman Bandar Senawang. FOTO Ihsan Jas
PIHAK Jas membuat pemantauan kesan kimia yang mengalir dalam longkang utama di Taman Bandar Senawang. FOTO Ihsan Jas
Ahmad Hasbi


Seremban: Air putih seakan susu yang mengalir dalam longkang utama di Taman Bandar Senawang, di sini, berpunca daripada sebuah kilang kimia yang beroperasi di kawasan perindustrian Senawang.

Exco, Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, Jabatan Alam Sekitar (Jas) sudah membuat rondaan dan siasatan selepas menerima aduan daripada kumpulan teknikal agensi itu berkaitan aduan penduduk.

"Pasukan rondaan membuat siasatan ke Persiaran Bunga Tanjung 2, Kawasan Perindustrian Senawang dan menyusuri longkang awam berhampiran sebelum masuk ke Taman Bandar Senawang.

"Selepas menyusuri longkang awam, didapati terdapat kesan air putih yang berpunca daripada sebuah premis industri.

"Siasatan di dalam premis mendapati air putih yang terhasil berpunca daripada longkang di dalam kerja produksi wet milling process (proses pengilangan basah)," katanya, hari ini.

Menurut Veerapan, premis itu tidak mempunyai sistem pengolahan efluen perindustrian (SPEP) dan menggunakan semula air untuk kegunaan basuhan mesin wet mill.

Sehubungan itu, beliau berkata, premis itu diarahkan untuk memberhentikan mana-mana punca yang menghasilkan pengeluaran air putih serta merta.

"Premis itu juga diarahkan untuk membuat pembersihan longkang tanpa membuat pelepasan ke longkang awam.

"Satu set persampelan efluen perindustrian (EP) dan satu set persampelan buangan terjadual (BT) diambil di dalam premis.

"Satu set persampelan BT juga diambil di aliran longkang awam sebelum masuk ke taman perumahan," katanya.

Pihaknya turut mengesyorkan siasatan susulan bagi tindakan perundangan berkaitan pencemaran itu.

Sebelum ini, media melaporkan air sungai yang mengalir di belakang rumah penduduk D'Latania Taman Bandar Senawang menjadi warna putih seakan susu, pagi semalam.

Penduduk mendakwa air sungai terbabit mengeluarkan bau yang boleh memeningkan kepala iaitu seperti bahan kimia dan sudah kali kedi berlaku empat tahun lalu, namun tidak bertukar warna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:02 PM