KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Mikail Ong
KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO Mikail Ong
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis belum merakam keterangan kolumnis, Andrew Sia berhubung penulisannya yang mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem 'apartheid'.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 57 tahun terbabit dilaporkan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Polis belum dapat mengambil keterangannya kerana dia kini mendapat rawatan selepas pembedahan kaki akibat jangkitan kuman sejak 2 April lalu.

"Namun, polis akan mengambil keterangan pihak sebuah portal berita kira-kira 10 pagi esok," katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 60 laporan diterima berhubung penulisan itu yang mana penambahan 22 laporan daripada 28 laporan sebelum ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis membuka kertas siasatan ke atas Andrew berhubung penulisannya yang mendakwa UiTM mengamalkan sistem 'apartheid'.

Siasatan dibuat selepas polis menerima 14 laporan membabitkan isu terbabit di seluruh negara.

Laporan pertama dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik berusia 37 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Lelaki terbabit menyedari artikel bertajuk Our Apartheid Academy, UiTM yang dimuat naik di sebuah portal ketika berada di sebuah hotel.

Individu bernama Andrew Sia memberi komen berkenaan protes oleh pelajar Bumiputera ke atas beberapa pelajar bukan Bumiputera yang diterima masuk bagi jurusan cardiothoracic surgery di UiTM.

Semakan mendapati artikel itu dimuat naik pada 22 Mei lalu di laman portal berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:27 PM