CDM Olimpik Paris 2024, Hamidin bersama atlet negara yang sudah melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris. -FOTO Bernama
CDM Olimpik Paris 2024, Hamidin bersama atlet negara yang sudah melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris. -FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad badminton negara mampu melakukan sesuatu di temasya berkenaan berdasarkan prestasi semasa di kejohanan yang berlangsung di Asia Tenggara sekarang ini.

Bagaimanapun, semua bergantung kepada nasib undian di Paris nanti dan jika ia memihak kepada pemain negara tidak mustahil sesuatu dapat dilakukan sama ada perseorangan mahu pun beregu.

"Kalau kita tengok sekarang (Masters Malaysia) beregu wanita (Pearly Tan-M Thinaah) berjaya mara sehingga separuh akhir, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke suku akhir, kecuali Lee Zii Jia (final) dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai (juara)," katanya dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra CDM Paris 2024 bersama atlet.

Ujarnya, beliau sependapat dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria iaitu perlu melihat sama ada nasib nanti menyebelahi pemain negara dari segi undian.

"Undian itu nanti tidak mustahil sama ada perseorangan atau beregu (mampu melakukan sesuatu atau kejutan). Kalau kita tengok Pearly-Thinaah mereka juga mampu mengalahkan pemain ternama, begitu juga Aaron-Wooi Yik.

"Kecuali Zii Jia, dia sekarang ini sedang menunjukkan kebangkitan, selepas muncul juara di Thailand. Sekarang dia ada sedikit kecederaan harap dapat bangkit semula di Terbuka Singapura dan Indonesia. Jadi bagi saya badminton masih lagi dalam posisi mampu ke suku akhir, separuh akhir dan final. Ini yang kita harapkan," katanya.

Tambahnya, mereka sekarang ini harus terus berusaha keras di Singapura dan Indonesia termasuk dengan menumbangkan pemain di ranking lebih tinggi.

"Jadi undian sangat penting untuk badminton, di mana kadang-kadang ada pemain yang sama kuat kita jumpa lebih awal. Saya masih yakin badminton boleh buat sesuatu di Olimpik nanti," katanya yang juga Presiden Bolasepak Malaysia.

Antara atlet Paris 2024 yang hadir hari ini ialah adalah Mohammad Aniq Kasdan (angkat berat), Johnathan Wong (menembak), Nur Aisyah Mohammad Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 5:16 PM