IZHAM ketika lawatan ke tapak LRA SSP1.  FOTO Faiz Anuar
IZHAM ketika lawatan ke tapak LRA SSP1. FOTO Faiz Anuar
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerja penyenggaraan dan penggantian aset termasuk injap di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 5 Jun ini adalah kali pertama dilakukan selepas mengambil kira usianya hampir 30 tahun.

Ia membabitkan penggantian injap butterfly bersaiz 1,450 millimeter (mm) dan injap sluice (1,350 mm) di pam air terawat dengan masing-masing mengambil masa kira-kira 10 jam.

Selain itu, kerja penyelenggaraan switchgear 6.6 dan 33 kilowatt (kV) di rumah pam air terawat loji terbabit bagi memenuhi keperluan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, sebelum ini kerja itu ditangguh dua kali berikutan musim perayaan.

"Dalam mana-mana LRA akan ada rutin penyelenggaraan. Untuk LRA SSP1 ini membabitkan major (keutamaan menggantikan dua injap).

"Dua injap terbabit digunakan sejak 1990-an dan beroperasi 24 jam sehari. Oleh itu, tiada cara bypass dalam proses ini melainkan penutupan bekalan air.

"Kita sentiasa melaksanakan teknikal audit bagi memastikan peralatan yang rosak diganti," katanya pada sidang media di LRA SSP1, Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abas Abdullah.

Izham menjelaskan, kos penyelenggaraan dan penggantian kesemua aset itu berjumlah RM500,000.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan dua LRA iaitu Rantau Panjang dan Semenyih akan ditutup pada hujung tahun ini atas kerja yang sama.

Bagaimanapun katanya, impak itu akan dikurangkan dengan bantuan bekalan air dari LRA Langat 2.

Sementara itu, Pemangku Pengarah merangkap Ketua Operasi dan Pengagihan Air Selangor, Kelvin Siew Weng Hoe berkata, penutupan LRA SSP1 akan memberi kesan gangguan air berjadual kepada 664 kawasan di tujuh wilayah.

Wilayah paling tinggi terkesan adalah Kuala Selangor dengan 175 kawasan diikuti Gombak (150 kawasan), Petaling (149 kawasan), Kuala Lumpur ( 118 kawasan), Hulu Selangor (31 kawasan), Klang (29 kawasan) dan Shah Alam (12 kawasan).

"Anggaran pengurangan pengeluaran akibat kerja-kerja tersebut adalah sebanyak 404 juta liter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:56 PM