Keadaan asrama pekerja asing  yang kurang kemudahan dikesan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Pokok Sena, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Keadaan asrama pekerja asing yang kurang kemudahan dikesan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Pokok Sena, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Sebuah syarikat pembuatan papan lapis di Pokok Sena di sini, dikesan gagal menyediakan kemudahan asas penginapan kepada 1,223 pekerja warga asing ketika operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), hari ini.

Operasi berkenaan turut disertai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), polis, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MlTl), Pejabat Parol dan beberapa agensi lain.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah, Arzanil Bahadon, berkata siasatan awal mendapati syarikat berkenaan disyaki tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) berikutan tidak menyediakan kemudahan asas mencukupi.

Katanya, asrama pekerja warga asing ditempatkan dalam kawasan kilang itu juga didapati tidak mempunyai perakuan penginapan mengikut Seksyen 24D Akta 446.

"Syarikat terbabit didapati menggajikan 2,313 pekerja terdiri 1,090 pekerja tempatan dan 1,223 orang pekerja warga asing.

"Antara kemudahan asas yang tidak mencukupi adalah katil dan almari, kita dapati nisbah tandas juga tidak mematuhi syarat ditetapkan malah ada juga tandas dibina sejauh 200 meter dari asrama," katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Arzanil berkata, jumlah pekerja juga berkemungkinan besar melebihi kapasiti asrama disediakan berdasarkan pemerhatian ketika operasi terbabit dijalankan.

Katanya, mengikut Akta 446 setiap bilik asrama pekerja perlu mempunyai ruang seluas tiga meter persegi antara katil.

"Apa yang kita lihat, kemungkinan jumlah pekerja melebihi jumlah sepatutnya. Apa pun kita akan ukur dan kira terlebih dahulu untuk memastikannya," katanya.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan Pematuhan Akta 446 secara lebih agresif bagi memastikan majikan dan penyedia penginapan berpusat mematuhi Akta 446.

"Kegagalan mematuhi akta ini, majikan boleh didakwa dan dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Setakat 6 April kita sudah meluluskan sebanyak 157 permohonan daripada 246 permohonan yang diterima.

"Majikan yang belum membuat permohonan perakuan di bawah Akta 446 ini perlu menyegerakannya walaupun hanya memiliki seorang sahaja pekerja warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 4:52 PM