ANTARA tempat tinggal pekerja yang melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990. FOTO Ihsan JTK Kedah
ANTARA tempat tinggal pekerja yang melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990. FOTO Ihsan JTK Kedah
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menempatkan pekerja asing berbeza jantina di bilik penginapan sama selain dipaksa tinggal di ruang sesak dan tidak selesa.

Itu adalah antara kesalahan yang dikesan dilakukan 294 majikan pada operasi khas sembilan Pasukan Kerja Pematuhan Penginapan Pekerja Akta 446 di seluruh negeri ini bermula 1 Februari lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah, Arzanil Bahadur, berkata pasukan terbabit berperanan memastikan penginapan pekerja memenuhi peraturan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Katanya, adalah penting majikan mematuhi peraturan ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja.

"Dalam operasi terbabit, ramai majikan didapati gagal mendapat perakuan penginapan pekerja dan juga belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan berkenaan.

"Beberapa kesalahan lain turut dikesan termasuklah ruang sesak, menempatkan pekerja asing berlainan jantina dalam penginapan yang sama selain majikan turut membiarkan pekerja tinggal di ruang sesak dan tiada pengudaraan yang selesa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arzanil berkata, kesemua kesalahan itu dikesan selepas operasi pemeriksaan terhadap 326 majikan dan 636 tempat penginapan dibuat di semua daerah di negeri ini.

Katanya, tindakan undang-undang tegas akan diambil terhadap majikan yang terbabit bagi memastikan usaha kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 selain memastikan pematuhan kepada akta yang dikuatkuasakan.

"Untuk rekod JTK Kedah membuka tujuh kertas siasatan dan susah mendapat izin untuk tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 24D, Sekyen 24J dan Peraturan 3(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

"Jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:18 PM