DOLLA yang dibarisi oleh, Sabronzo (tengah) , Tabby (kanan) dan Angel pada sidang media Konsert Dolla Rebirth. FOTO Hazreen Mohamad
DOLLA yang dibarisi oleh, Sabronzo (tengah) , Tabby (kanan) dan Angel pada sidang media Konsert Dolla Rebirth. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Kumpulan Dolla menyifatkan isu tular mereka tidak dikenali anggota SMDX iaitu Elle hanya perkara kecil dan tidak menyangka ia akan diperbesar.

Dolla yang dianggotai Angel, Tabby, dan Sabronzo berkata mereka sendiri pun tahu masih ramai belum mengenali mereka di Malaysia.

Menurut Sabronzo, mereka cukup syukur peminat mereka iDolla terus beri sokongan padu.

"Kami belum lagi capai seluruh audien rakyat Malaysia. Kalau masih belum dikenali, kami akan terus keluarkan lagi lagu dan album supaya lebih ramai menyokong kami.

"Kami pun tahu peminat kami iDolla sangat menyokong kami, dan kami juga sangat menghargai mereka, tapi tak mengapa tak perlu bergaduh. Industri kita kecil, tak guna untuk kita gaduh-gaduh.

"Sebaliknya terus menyokong antara satu sama lain. Tapi kami rasa iDolla respek sahaja pendapat masing-masing dan terima semua ini dengan terbuka. Kami hanya 'move on' sahaja," katanya.

Tabby pula sangat mengalu-alukan kehadiran mana-mana kumpulan wanita lain termasuk SMDX sendiri. Mereka mengucapkan selamat maju jaya juga kepada anggotanya, Elle.

"Dia juga masih baharu dalam industri dan kami hanya berharap dalam masa akan datang dia belajar dan berharap yang terbaik buat mereka.

"Kami sangatlah menyokong untuk mereka sebagai kumpulan pop baharu, jadi semoga berjaya. Kesilapan tetap akan terjadi, jadi tidak mengapa. Jangan risau. Banyak lagi benda positif yang kita boleh fokus," katanya. 

Terdahulu, Elle menerima kecaman hebat daripada netizen susulan disifatkan 'angkuh' ketika menjawab pertanyaan menerusi sesi siaran langsung di TikTok, baru-baru ini.

Dolla menjawab isu terbabit pada sidang media konsert, Dolla Rebirth Experience yang diadakan di Planetarium, petang tadi. Konsert pertamanya itu akan diadakan pada 3 Ogos depan di Zepp KL. 

Angel berkata konsert itu nanti bakal menampilkan banyak sisi lain corak persembahan mereka. Mereka janjikan kepuasan penonton memandangkan itu konsert sulungnya.

"Konsert Dolla ini akan menjadi era baharu, kelahiran semula Dolla. Kami sedang menyediakan susunan lagu Dolla yang baru dan segar untuk konsert itu. 

"Sudah tentu persembahan yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelum ini! la akan menjadi pengalaman yang penuh emosi dan istimewa untuk iDollas," katanya.

Konsert anjuran Hitman Solutions itu adalah saluran untuk gadis-gadis ini menunjukkan kelahiran semula Dolla yang serba baharu dalam perspektif yang berbeza.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:46 PM