NURADILLYA bersama bapanya, Zaidi memeriksa keputusan SPM 2023 secara dalam talian.  FOTO Wan Nabil Nasir
NURADILLYA bersama bapanya, Zaidi memeriksa keputusan SPM 2023 secara dalam talian. FOTO Wan Nabil Nasir
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pedu mencipta sejarah hari ini apabila menjadi calon pertama mendapat kesemua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 28 tahun penubuhan sekolah itu.

Nuradillya Mohd Zaidi, 18, berkata, dia sangat bersyukur memperoleh 8A (3A+ dan 5A) dalam SPM walaupun ayahnya hanya membuka warung.

"Saya sendiri agak takut dan gementar untuk semak keputusan SPM di laman web kementerian pagi tadi, Alhamdulillah saya berjaya dapat semua A dalam semua subjek.

"Saya rasa terharu dan bangga dengan pencapaian saya bukan sahaja untuk keluarga tapi juga untuk sekolah," katanya ketika ditemui di sekolahnya hari ini.

Nuradillya berkata, kejayaannya itu didorong dengan kasih sayang ayahnya serta sokongan guru yang sentiasa memberi tunjuk ajar.

Katanya, dia turut pergi ke kelas tambahan dan turut belajar menerusi YouTube.

"Selain itu, saya juga selalu buat solat hajat dan baca al-Quran setiap hari untuk bantu saya lebih fokus dalam pelajaran.

"Saya berhasrat untuk sambung pengajian dalam jurusan kewangan atau perniagaan, saya juga harap akan dapat tajaan biasiswa untuk menyambung belajar di universiti nanti," katanya yang juga anak sulung daripada empat beradik.

Menurut bapanya, Mohd Zaidi Hamid, 34, dia membesarkan anak-anaknya seorang diri selama lima tahun selepas bercerai pada 2016.

"Selepas bercerai, kehidupan saya agak sukar, saya ada masalah kewangan tapi mujurlah keluarga saya sangat membantu.

"Sebab itulah saya perlu didik anak untuk utamakan pelajaran untuk ubah nasib keluarga," katanya yang sudah berkahwin semula pada 2021.

Sementara itu, Pengetua SMK Pedu, Abdul Rahman Malik berkata, beliau amat terharu dengan kejayaan Nuradillya apabila memecah rekod sekolah selepas 28 tahun beroperasi.

"Sebelum ini ada beberapa pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tetapi tidak pernah mendapat kesemua A," katanya.

Tahun ini, kami mempunyai 103 calon, dan Nuradillya berjaya memecahkan rekod, Alhamdulillah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 6:37 PM