ROSLI Jantan melakukan pemeriksaan di asrama pekerja asing di tapak pembinaan kondominium 36 tingkat di Kota Syah Bandar dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka di sini, hari ini. FOTO bernama
ROSLI Jantan melakukan pemeriksaan di asrama pekerja asing di tapak pembinaan kondominium 36 tingkat di Kota Syah Bandar dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka di sini, hari ini. FOTO bernama
BERNAMA

Melaka: Sebanyak 1,161 majikan yang menggaji pekerja asing di Melaka masih belum melakukan saringan Covid-19 ke atas 14,016 pekerja mereka dalam tempoh 1 Februari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka Rosli Jantan berkata, majikan berkenaan dihubungi melalui e-mel namun mereka masih belum memberi maklum balas untuk melakukan saringan berkenaan.

"JTK Melaka menghubungi 2,208 majikan yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui e-mel dan hanya 1,047 majikan yang memberi maklum balas dan melakukan saringan ke atas pekerja asing mereka dalam tempoh tersebut.

"Setakat ini, hanya 27,496 pekerja asing telah menjalani saringan dan kita menggesa majikan yang masih belum berbuat demikian agar segera melakukannya sebelum tindakan diambil terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di tapak pembinaan di Kota Syah Bandar di sini, hari ini.

Beliau berkata senarai majikan yang belum melakukan saringan Covid-19 akan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam perkembangan lain, sebanyak 108 majikan dikesan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dalam tempoh 1 Februari hingga semalam.

Rosli berkata ia membabitkan 533 penginapan daripada keseluruhan 784 penginapan warga asing yang diperiksa di sekitar negeri itu dalam tempoh sama.

"Dalam tempoh itu, sebanyak 135 majikan dengan jumlah 8,380 pekerja diperiksa termasuk 305 pekerja tempatan bagi memastikan pematuhan di bawah Akta 446 dipatuhi dalam usaha mengekang penularan Covid-19 khususnya membabitkan warga asing daripada sektor pembinaan dan pengilangan," katanya.

Terdahulu, dalam operasi berkenaan majikan tapak pembinaan kondominium 36 tingkat itu dikesan mempunyai permit sementara untuk menduduki daripada pihak berkuasa tempatan serta sijil perakuan penginapan pekerja daripada JTK namun masih melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta 446.

Seramai 399 pekerja asing Covid-19 ditempatkan di dalam 104 kabin yang diubah suai menjadi asrama pekerja terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh.

"Berdasarkan ukuran atau spesifikasi yang ditetapkan JTK, maksimum empat pekerja asing sahaja boleh ditempatkan di dalam satu kabin berkenaan tetapi ada kabin yang didiami enam pekerja sehingga menyebabkan ia sesak," katanya.

Beliau berkata majikan juga tidak menyediakan tilam untuk keselesaan pekerja selain tiada sistem pengudaraan yang baik serta kawasan sekeliling asrama kotor.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 8:01 PM