Nelayan lemas selepas terjatuh ketika mengangkat bubu di Pulau Pangkor, Lumut. FOTO IHSAN BOMBA
Nelayan lemas selepas terjatuh ketika mengangkat bubu di Pulau Pangkor, Lumut. FOTO IHSAN BOMBA
Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: Nelayan ditemukan lemas selepas terjatuh ketika mengambil takung ketam di perairan pulau ini berhampiran sebuah pelantar di Kampung Masjid di sini, hari ini.

Mayat Zulkefly Mohamad Zamri, 36, ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor pada 9.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.30 pagi.

"Saksi memaklumkan mangsa menaiki kayak kecil untuk mengambil takung ketam di lokasi itu dan tiba-tiba terjatuh ke laut dan tidak timbul kira-kira lima minit, sebelum menghubungi polis dan bomba untuk bantuan.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut dibantu orang kampung berjaya menjumpai mangsa pada 9.45 pagi, manakala siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, mayat mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor dan mempunyai sejarah penyakit sawan dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Shah Al Haffiz Mohd Redzuan berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 9.15 pagi.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya yang memberitahu operasi tamat pada 9.53 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 5:41 PM