Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat pemandu lori terjatuh ke dalam laut di Pelabuhan Lumut. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat pemandu lori terjatuh ke dalam laut di Pelabuhan Lumut. FOTO IHSAN BOMBA
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Jasad Aqil Rasydan Razmi, 20-an, yang terperangkap dalam lori dipandunya yang terjunam ke laut di Pelabuhan Lumut di sini, berjaya dibawa naik jam 9.45 pagi, bersama kenderaan terbabit.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faisal Mohd Izham berkata, dua kren daripada pelabuhan berkenaan digunakan bagi menaikkan lori terbabit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa dan lori itu ditemui pada kedalaman kira-kira 11 meter. Operasi menyelamat ditamatkan jam 10.13 pagi," katanya.

Terdahulu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan Pasukan Penyelamat Di Air BBP Pulau Pangkor bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.30 pagi.

Hasil maklumat penyelam pelabuhan mengesahkan mangsa terperangkap dalam lori berkenaan.

Kapal yang berlabuh berdekatan pelabuhan juga dialihkan bagi memudahkan operasi menyelamat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 12:28 PM