Lelaki dipercayai kurang siuman maut digilis lori. FOTO Ihsan Pembaca
Lelaki dipercayai kurang siuman maut digilis lori. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Lelaki dipercayai kurang siuman maut selepas tergelincir dari batu penghadang dan terjatuh di atas jalan raya lalu digilis lori berdekatan lampu isyarat pekan Pantai Remis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.45 pagi itu, mangsa Mohd Fadil Kamarudin, 45, parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku selepas mangsa dipercayai tergelincir ketika berdiri di atas batu penghadang di tengah jalan.

Menurutnya, mangsa terjatuh di atas jalan utama kemudian digilis tayar pada bahagian belakang kenderaan berat yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.

"Kemalangan menyebabkan mangsa yang dipercayai kurang siuman itu cedera di kepala dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 8:04 PM