Oleh Noor Hidayah Tanzizi

 

Pangkor: Seorang nelayan warga Thailand dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika sedang menangkap ikan di Pulau Sembilan, di sini, awal pagi semalam.

Kehilangan mangsa mula disedari rakan sekerjanya sebelum memaklumkannya kepada majikan kira-kira 1 pagi.

Jurucakap Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Lumut, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu usaha mencari sedang dijalankan sehingga kini dengan bantuan Polis Marin Kampung Acheh.

"Usaha mencari ditamatkan pada jam 7:30 malam, semalam dan disambung semula pada 7:30 pagi ini," katanya.

Menurutnya, pihak APMM menerima maklumat mengenai beberapa jam selepas kejadian daripada majikan mangsa.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian membabitkan seorang mangsa dikenali Phongsathon berusia 20-an yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika sedang menjalankan kerja menangkap ikan bersama majikannya di pulau berkenaan.

"Majikan mangsa juga dikatakan berusaha mencarinya namun, mangsa tidak berjaya ditemui sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 11:11 AM