Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Penghantar makanan antara 11 individu yang ditahan dan dikenakan kompaun RM10,000 selepas ditahan kerana berjudi dalam serbuan ke atas dua rumah di Halaman Menglembu Bestari, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisoner A A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan pada 5.45 petang itu, pihaknya menahan empat lelaki dan seorang wanita berusia 25 hingga 30 tahun disyaki bermain judi jenis poker di ruang tamu rumah itu.

Menurutnya, pihaknya melakukan serbuan berikutnya sebelum menahan enam lelaki berusia 25 hingga 37 tahun termasuk pemilik rumah ketika sedang berjudi menggunakan daun terup pada 6.15 petang.

Katanya, pihaknya merampas pelbagai barang di kedua-dua premis itu termasuk meja khas untuk bermain poker, peralatan permainan poker (2), 439 cip, perabot dan kerusi serta wang tunai lebih RM2,500.

"Suspek saling mengenali antara satu sama lain dan kita sedang menyiasat mengenai beberapa iklan di media sosial terutama Wechat yang dijumpai turut mempromosikan perjudian.

"Siasatan masih dijalankan dan rumah pertama yang diserbu itu adalah milik rakan suspek yang berada di Singapura di mana ia disewa sejak dua bulan lalu," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

ASISTEN Komisoner A A Asmadi Abdul Aziz (kanan) menunjukkan antara barang rampasan judi di membabitkan dua kediaman berasingan yang diserbu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ASISTEN Komisoner A A Asmadi Abdul Aziz (kanan) menunjukkan antara barang rampasan judi di membabitkan dua kediaman berasingan yang diserbu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Beliau berkata, operasi dilakukan sepasukan polis dari cawangan D7 (Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hasil maklumat dan aduan awam.

Menurutnya, esemua suspek masing-masing dikompaun RM10,000 kerana berkumpul dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh, manakal pemilik premis dikompaun RM25,000 kepada pemilik premis terbabit.

Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Semakan mendapati semua suspek yang ditahan di rumah petama tidak mempunyai rekod jenayah, namun suspek termasuk penghantar makanan yang ditahan di premis kedua didapati mempunyai satu hingga tujuh rekod jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 4:47 PM