GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuching: Polis Sarawak mematahkan aktiviti perjudian ala kasino dalam serbuan di sebuah rumah inap desa di Stutong Baru di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 6.50 petang itu tujuh lelaki serta seorang wanita berumur antara 22 dan 48 tahun turut ditahan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, suspek menggunakan premis inap desa sebagai tempat menjalankan perjudian poker dan bergerak dari satu inap desa ke inap desa lain untuk mengelak kegiatan mereka daripada dikesan polis.

"Antara yang dirampas dalam serbuan itu adalah meja poker ala kasino, 273 cip poker, 104 keping daun terup, cip 'dealer', lapan buah kerusi, sebuah monitor, seunit tetikus, perakam video, dua kunci dan alat kawalan jauh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sini hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di sebuah pub di sini pada Rabu lalu, Aidi berkata tiga lelaki ditahan selepas dipercayai bermain judi haram 'blackjack' sambil meminum minuman keras di premis berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.

"Ketiga-tiganya yang berusia antara 35 dan 55 tahun adalah pelanggan yang saling mengenali di antara satu sama lain di premis itu dan turut dirampas adalah seunit monitor, seunit dekoder, seunit tetikus, 52 keping daun terup dan wang tunai berjumlah RM3,600," katanya.

Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak lebih dari RM5,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 4:58 PM