DUIT dan barangan  digunakan untuk berjudi yang  dirampas.
DUIT dan barangan digunakan untuk berjudi yang dirampas.
Rosman Shamsudin

Slim River: Sebuah premis di sini berselindung di sebalik lesen pusat permainan snuker untuk menjalankan aktiviti perjudian tidak berlesen.

Ia terbongkar selepas premis berkenaan diserbu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, kelmarin.

Pada serbuan jam 5 petang itu, sembilan lelaki termasuk seorang warga emas berusia 65 tahun ditahan polis, ketika leka berjudi.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu sebuah premis berkenaan.

“Ketika serbuan, semua lelaki itu berjudi di sebuah bilik belakang premis berkenaan. Mereka disyaki berjudi ‘jeram batu’ dengan menggunakan wang sebagai pertaruhan.

“Polis turut merampas meja, kerusi, set jerami batu, buah dadu, kertas putih dan wang tunai RM800 yang dipercayai digunakan sebagai pertaruhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua kaki judi itu berusia antara 29 hingga 64 tahun dengan sebahagiannya berasal dari kawasan setempat, manakala bakinya dari Ipoh, Kedah dan Kuala Lumpur.

Katanya, tujuh daripadanya orang Melayu beragama Islam.

“Semua individu itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:30 AM