Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Tiga unit kondominium yang dijadikan sebagai pusat panggilan judi dalam talian sejak 10 hari lalu di daerah ini, diserbu polis, hari ini.

Sindiket terbabit dilaporkan mempromosikan judi dalam talian dan mensasarkan warga China di negara republik itu.

Dalam serbuan serentak jam 11 pagi tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menahan 23 individu termasuk tiga lelaki warga China berusia antara 17 hingga 40-an.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan tiga wanita.

"Jumlah tangkapan itu termasuk dua lelaki yang ditahan secara berasingan di lobi kondominium berkenaan," katanya.

Menurutnya, dua suspek dalam tangkapan berasingan di lobi kondominium mendawa berperanan sebagai penghantar makanan dan menguruskan sewa kepada sindiket itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati setiap unit kondominium itu disewa pada harga RM3,000 sebulan.

Adzli (kiri) menyoal ahli sindiket yang ditahan di satu kondominium yang diserbu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Adzli (kiri) menyoal ahli sindiket yang ditahan di satu kondominium yang diserbu. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Semua ahli sindiket terbabit dipercayai menjalankan operasi sepanjang hari. Mereka diberi makan secara percuma tetapi tidak dibenarkan keluar dari situ. Makanan akan dihantar ke setiap unit kondominium setiap hari," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Adzli berkata, setiap ahli sindiket terbabit diberi antara 10 hingga 15 telefon bimbit untuk kegunaan mereka bergantung pada kemampuan mengendalikan judi dalam talian itu.

Beliau berkata, mereka mempunyai sasaran untuk setiap pertaruhan dan akan diberi imbuhan sekiranya berjaya mencapai sasaran setiap bulan.

"Ini berdasarkan papan tanda yang ditemukan dalam ketiga-tiga unit kondominium yang diserbu tertulis nilai sasaran pertaruhan yang perlu dicapai mereka. Kebanyakan yang ditahan dalam serbuan ini berasal dari Johor, Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Adzli berkata, pihaknya turut merampas 245 telefon bimbit, 17 komputer riba dan 10 modem yang digunakan sindiket itu.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 3:55 PM