ANTARA pemain judi poker yang ditahan di kondominium di Bukit Jalil. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA pemain judi poker yang ditahan di kondominium di Bukit Jalil. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 12 lelaki termasuk dua pelancong asing yang juga pemain judi poker ditahan dalam serbuan di kondominium di Bukit Jalil yang dijadikan sebagai mini kasino, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) membuat serbuan di lokasi berkenaan kira-kira 11 malam.

“Dalam serbuan ini, kami menahan seorang lelaki warga Rusia, seorang lelaki warga China dan sembilan lelaki tempatan yang juga pemain judi poker dalam kediaman itu.

“Kami turut menahan tiga lelaki tempatan yang juga penganjur dan pekerja di premis berkenaan. Semua yang ditahan berusia antara 24 hingga 34 tahun,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Rusdi berkata, pihaknya turut merampas mesin kira-kira wang, satu kertas pertaruhan pemain, dua anak kunci, 791 cip pelbagai warna, 17 telefon bimbit, dua tablet, 104 daun terup dan wang tunai berjumlah RM15,637 dalam serbuan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM 5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur atau pemain.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan judi di ibu kota ini diminta menghubungi pegawai di Bahagian D7 iaitu Asisten Superintendan Azri Ramli di talian 0321460649 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 032115 9999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Februari 2020 @ 1:38 PM