GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Lahad Datu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu melancarkan operasi membanteras kumpulan peminta sedekah suku Palauh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula semalam.

Usaha itu bukan saja untuk menyekat penularan wabak Covid-19 tetapi menyelesaikan masalah sosial membabitkan suku terbabit.

Terdapat 1,650 individu suku Palauh di enam lokasi yang bukan saja mengemis dan menghidu gam malah terbabit dalam kegiatan jenayah seperti mencuri serta penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, operasi bermula 12 tengah hari itu menumpukan di dua lokasi iaitu lampu isyarat Bandar Lahad Datu dan Bandar Sri Perdana.

Katanya, sembilan wanita Palauh berusia 17 hingga 41 tahun ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

"Disamping itu, polis turut menahan 25 kanak-kanak atas faktor kebajikan dan keselamatan mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu tidak boleh digunakan untuk mengemis.

"Tumpuan operasi ini khusus kepada peminta sedekah yang mengganggu pengguna jalan raya selain tidak memakai pelitup muka dan berkumpul tanpa penjarakan fizikal ditetapkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, penguatkuasaan SOP PKPP bagi Sabah hendaklah dipatuhi sepenuhnya bagi menyekat penularan Covid-19.

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan supaya menghentikan memberi derma dalam apa juga bentuk seperti wang, makanan dan pakaian kepada pengemis.

Rohan berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan bersama agensi lain terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain itu katanya, operasi turut dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 10:40 AM