GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


Lahad Datu: Tiga daripada empat suspek yang melarikan jenazah bapa mereka dari Hospital Lahad Datu di sini, dihadapkan ke mahkamah, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, semua suspek berusia 26 hingga 31 tahun itu terdahulu dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Katanya, kertas siasatan kes sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh mengikut Seksyen 22(a) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis jam 8 pagi hari ini sementara menunggu proses pendakwaan.

"Hanya tiga suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada 25 Januari depan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, salah seorang daripada orang yang ditahan sebelum ini pula dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut.

Dalam kejadian Rabu lalu, empat beradik ditahan polis selepas bertindak melarikan jenazah bapa mereka dalam kejadian di Hospital Lahad Datu.

Keempat-empat beradik itu dipercayai bertindak sedemikian selepas enggan membenarkan pihak hospital menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pengurusan wabak Covid -19 terhadap jenazah bapa mereka.

Lelaki berusia 58 tahun itu meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan dan diletakkan di bawah kategori pesakit bawah siasatan (PUI).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 5:28 PM