DARWIN dan Darin diburu polis. FOTO Ihsan PDRM
DARWIN dan Darin diburu polis. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Berang selalu diejek dan dipersendakan oleh dua rakannya yang juga adik beradik menyebabkan seorang pekerja ladang berusia 29 tahun nekad berjumpa mereka bagi menyelesaikan masalah itu.

Namun ia berakhir tragedi apabila dia akhirnya maut akibat ditetak disyaki menggunakan parang oleh dua beradik yang masing-masing berusia 25 tahun dan 35 tahun itu dalam kejadian 7 pagi di sebuah ladang di Ulu Segama, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di hadapan rumah adik beradik itu yang juga pekerja ladang berkenaan.

Katanya, mangsa dikatakan pergi menemui kedua-dua suspek bagi menyelesaikan permasalahan antara mereka.

"Ketika itu, berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum berakhir dengan insiden saling serang-menyerang antara mereka.

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa parah di bahagian kepala, tangan dan kaki," katanya di sini, hari ini.

Rohan berkata, kedua-dua suspek dipercayai adik beradik dikenali sebagai Darwin, 35, dan adiknya Darin, 25, terus melarikan diri sejurus selepas kejadian itu.

Katanya, mangsa cuba dibantu oleh pekerja lain namun dipercayai sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Setakat ini, seramai lima individu termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 35 tahun ditahan untuk membantu siasatan lanjut.

"Polis masih berusaha untuk mengesan dua suspek terbabit bagi membantu siasatan," katanya.

Rohan berkata, siasatan mendapati, motif kejadian dipercayai sebagai dendam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Khairuddin Husain ditalian 013-9071709 atau tampil ke balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 5:10 PM