WANITA yang menemui bayi di bawah rumahnya di Kampung Dasar Baru, Lahad Datu. FOTO ihsan PDRM
WANITA yang menemui bayi di bawah rumahnya di Kampung Dasar Baru, Lahad Datu. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan


Lahad Datu: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemukan ditinggalkan di bawah sebuah rumah di Kampung Dasar Baru di sini, semalam.

Bayi lelaki terbabit ditemui kira-kira jam 7.30 malam oleh pemilik rumah selepas terdengar bunyi tangisan dan anjing menyalak ke arah bawah rumah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menemukan bayi berkenaan dalam keadaan masih mempunyai uri tertiarap di atas tanah berlumpur.

Katanya, wanita itu bersama ahli keluarganya terus membawa bayi terbabit ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor yang merawat memaklumkan bayi berkenaan dilahirkan kira-kira tiga atau empat jam sebelum ditemukan.

"Dipercayai bayi malang seberat satu kilogram itu dilahirkan pramatang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan berkata, setakat ini, bayi terbabit berada dalam keadaan tidak stabil dan ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan serta pemantauan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah atau membuang kanak-kanak terbabit.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali," katanya.

Sehubungan itu, Rohan berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menyeru masyarakat yang mempunyai maklumat supaya tampil menyalurkan maklumat.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Aspalainah Mohd Zain di talian 0111-9019728 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:09 PM