SAITO UC. FOTO Ihsan Saito UC
SAITO UC. FOTO Ihsan Saito UC
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Modul Celik Kewangan Digital akan diperkenalkan kepada penuntut Universiti Kolej Saito (Saito UC) sebagai persediaan menghadapi masa depan.

Saito UC bersama RinggitPlus menandatangani memorandum persefahaman secara maya untuk persediaan menjadi modul pertama diperkenalkan di pusat pengajian tinggi di Malaysia.

Naib Canselor Saito UC Prof Dr Vinitha Guptan berkata, modul ini selari dengan visi universiti swasta itu bagi mendedahkan kepada penuntut untuk melakukan perubahan positif di dalam diri dan masyarakat sambil membantu mereka membuat keputusan positif tentang kewangan.

"Kami berbangga dapat memperkenalkan modul ini kepada penuntut kerana percaya pendidikan celik kewangan adalah aspek penting dalam kehidupan golongan muda.

"Modul pengajian ini yang akan diuruskan perancang kewangan bertauliah dan kami yakin penuntut Saito UC akan lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Ringgitplus Hann Liew berkata, pihaknya mengenal pasti beberapa cara sesuai dalam mendidik lebih ramai rakyat Malaysia dan menyebarkan kesedaran tentang kepentingan celik kewangan.

"Kerjasama bersama Saito UC memberi peluang kepada kami untuk menyebarkan kebaikan celik kewangan kepada golongan muda dan berharap modul ini dapat membantu mereka membuat keputusan yang lebih bijak di dalam kehidupan mereka," katanya.

Modul Celik Kewangan ini mengandungi 10 topik dengan jumlah 30 jam pengajian termasuk aspek penting di dalam pengurusan kewangan peribadi termasuk perancangan kewangan berkesan, belanjawan pintar, pengurusan hutang, simpanan kecemasan, strategi pelaburan, pengurusan risiko dan perancangan persaraan.

Di penghujung kursus, penuntut yang lulus peperiksaan akhir bukan hanya menerima kredit untuk program sarjana muda dan lepasan ijazah l malah berpeluang memohon untuk latihan amali bersama RinggitPlus, Jirnexu Sdn Bhd dan syarikat gabungan untuk meluaskan lagi pengetahuan dan pengalaman bekerja di syarikat teknologi kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 9:36 PM