Bank Negara Malaysia.
Bank Negara Malaysia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan usaha untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk merangsangkan lagi inovasi, persaingan dan kedinamikan pada 2022, antaranya dengan menyokong kemasukan peserta digital baharu dalam sektor kewangan.

Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata pada April 2022, Menteri Kewangan telah memberikan kelulusan bersyarat kepada lima pemohon bank digital.

"Bank-bank digital kini sedang menjalani semakan persediaan dari segi operasi dan mungkin akan memulakan operasi menjelang suku kedua 2024," katanya.

Menurut BNM, bank-bank digital menawarkan perkhidmatan perbankan dalam talian tanpa rangkaian cawangan fizikal, memberikan tumpuan kepada penggunaan teknologi inovatif dan dijangka memberikan tumpuan kepada segmen kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

Menurutnya penanggung insurans dan pengendali takaful digital (DITO) baharu juga mungkin akan menyertai landskap kewangan Malaysia untuk memberikan rangkuman, persaingan pasaran, dan kecekapan yang lebih meluas terutamanya melalui cara digital.

Pada November 2022, BNM mengeluarkan draf dedahan berhubung Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk DITO yang bertujuan memperkenalkan keperluan pelesenan yang setimpal dengan tahap kerumitan DITO pada peringkat awal operasi.

"Sama seperti bank-bank digital, DITO yang baru diberikan lesen dikehendaki untuk mengikut fasa asas serta mematuhi keperluan pengurusan risiko yang mantap dan keperluan perlindungan pengguna," katanya.

BNM menyasarkan untuk memuktamadkan dokumen dasar dan menerima permohonan untuk lima lesen DITO pada 2023.

Pada 2022, strategi BNM tertumpu kepada usaha untuk menggalakkan sistem kewangan yang menyokong ekonomi yang lebih digital, pelbagai, inklusif dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim dengan berpandukan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

Bergerak ke hadapan, pada 2023, bank pusat akan terus memastikan sektor kewangan Malaysia kekal progresif dalam memberikan tindak balas terhadap perkembangan pasaran yang sedang pesat membangun dan terus inklusif dalam memenuhi keperluan penduduk Malaysia.

"Sektor kewangan Malaysia perlu terus mencapai kemajuan dalam perjalanan transformasi digital yang sedang dilaksanakan.

"Bagi menyokong usaha ini, BNM akan memuktamadkan rangka kerja pelesenan bagi DITO dan membuat persediaan bagi memulakan operasi lima bank digital yang pertama di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:58 AM