RAMLAN mempamerkan ikan yu bodoh yang ditangkapnya dengan menggunakan rawai di pangkalan nelayan Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
RAMLAN mempamerkan ikan yu bodoh yang ditangkapnya dengan menggunakan rawai di pangkalan nelayan Pengkalan Balak, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Rupanya tidak secantik ikan lain kerana selain kepala dempak, mulut dan giginya yang tersembunyi di bawah kepala membuatkan ikan yu bodoh dulunya tidak digemari kebanyakan orang.

Tetapi sekarang, ikan yu bodoh mampu memberikan pulangan memuaskan kepada nelayan yang berjaya menangkapnya.

Nelayan, Ramlan Abdul Kadir, 33, berkata ikan itu tidak akan dilepaskan semula ke laut jika berjaya ditangkap dengan menggunakan rawai, iaitu ratusan mata kail yang dipasang umpan sebelum dibuang ke dasar laut.

Menurutnya, ketika dia mula mencari rezeki di laut semasa berusia 15 tahun, ikan yu bodoh amat tidak digemari nelayan jika ia tercangkuk pada mata kail rawai.

"Dahulu ikan itu tidak ada harga dan menyebabkan setiap kali terkena rawai, ia akan dibuang semula ke laut.

"Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yu bodoh sudah boleh dijadikan sumber pendapatan kerana ia dimakan kebanyakan pelanggan," katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Dia berkata, yu bodoh kini dijual RM10 sekilogram dan menjadi antara ikan yang mendapat permintaan agak tinggi dalam pasaran.

Katanya, kebanyakan pelanggan gemar menjadikannya bahan masakan gulai kari atau asam pedas berikutan dagingnya yang lembut dan lemak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 4:59 PM