SKUAD Universiti Malaysia. FOTO UM
SKUAD Universiti Malaysia. FOTO UM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Universiti Malaysia (UM), Ridzuan Abu Shah akui bersedia membariskan skuad terkuat menjelang aksi penting berdepan Gombak FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro MBSB Bank di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok.

Jelasnya, pemain UM kini bebas daripada sebarang kecederaan selepas mengharungi beberapa aksi mencabar termasuk beraksi di suku akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.

"Pemain saya semuanya bebas daripada sebarang kecederaan dan kita bersedia menghadapi perlawanan di tempat lawan menentang Gombak FC.

"Kita harap sekurang-kurangnya dapat membawa pulang satu mata dari sana di mana kita sedar mereka sebuah pasukan yang bagus.

"Tapi ia bukan alasan untuk pemain mengaku kalah kerana perlawanan akan ditentukan di atas padang nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ketika ini UM di tangga ketujuh Liga A1 Semi Pro MBSB Bank dengan enam mata selepas tiga aksi dilalui.Manakala Gombak FC yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam pula di posisi kelapan dengan lima mata.

"Kita dapat meraih banyak pengalaman baharu menentang JDT tempoh hari. Banyak kelemahan yang berjaya dikesan dan kita cuba berbaiki kelemahan itu," kata Ridzuan lagi.

Pada aksi suku akhir Piala FA, UM tewas besar apabila dibelasah dengan agregat 13-0 yang berlangsung secara timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 4:20 PM